Dari Makan Gaji Kepada Membuka Perniagaan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ada setengah perniagaan yang bermula dengan seseorang yang pada awalnya bekerja makan gaji lalu berpindah kepada alam perniagaan atau alam bisnes.

Tapi macam mana kita nak buat macam tu?

Mungkin anda nak tambahkan pendapatan, atau memang minat untuk berniaga, ataupun nak menambahkan kekayaan keluarga anda.

Tapi anda tak boleh nak berhenti terus bekerja dan terus berniaga, sebab selama ini anda memang berharap kepada sumber pendapatan dari pekerjaan itu.

Jadi berhenti kerja tu adalah satu tindakan yang tak munasabah dan sangat-sangat berisiko.

Tahukah anda cabaran-cabaran nak mulakan perniagaan lagi-lagi ketika anda sedang ada kerja yang full time?

Dahlah ada kerja tetap,lepas tu kalau kita ada keluarga, nak kena luangkan masa dengan keluarga lagi, lepas tu bila kita dirikan bisnes, kita mula seorang-seorang, jadi ia menjadi cabaran yang sangat besar.

Perniagaan ni satu pekerjaan yang mulia. Jadi kalau anda masih bertekad nak mulakan bisnes mahupun apa jenis cabaran pun yang datang, saya akan bagi langkah yang anda boleh ikut untuk membantu anda dalam perjalanan untuk membuka bisnes anda walaupun anda masih bekerja sepenuh masa.

Disini saya kongsikan 10 langkah untuk berpindah daripada pekerjaan sepenuh masa kepada membuka perniagaan.

10 langkah untuk berpindah daripada pekerjaan sepenuh masa kepada membuka perniagaan anda:

1.Buat komitmen

Pertama sekali anda kena tanya diri sendiri. Betul ke aku nak buat ni ? Sebab nak mulakan perniagaan adalah satu cabaran yang sangat besar, seperti mana saya terangkan pada awal tadi.

Bila anda ada satu sebab yang kuat untuk mulakan perniagaan, barulah anda akan ada sumber motivasi untuk meneruskan perjalanan membuka perniagaan ni mahupun anda keseorangan diri.

Anda senaraikan semua aktiviti-aktiviti dan masa yang anda luangkan dalam jadual harian anda.

Cari aktiviti mana yang tak penting, dan minimakan masa yang anda luangkan pada aktiviti itu.

Nak lagi baik, kita stop terus buat aktiviti yang tak penting tu, untuk memberi masa kepada anda fokus mendirikan perniagaan anda.

Contohnya layan netflix, bermain game setiap malam, keluar lepak mamak setiap kali lepas maghrib, dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti ni kalau tak penting, anda berhenti terus melakukannya, tapi kalau rasa susah, anda boleh mulakan perlahan-lahan, mula dengan kurangkan masa yang anda habiskan dulu. Kalau dulu 3 jam lepak mamak, mungkin anda turunkan kepada 30 minit.

Anda bagitahu kawan-kawan dan ahli keluarga siap-siap yang anda akan banyak gunakan masa untuk membina perniagaan anda. Bukan apa, takut kalau anda diam-diam lama sangat nanti anda akan lagi stress, lebih baik terus terang terus.

Lagipun kalau mereka betul lah kawan anda, mereka akan menyokong anda, kalau tak, jangan bimbang, teruskan sahaja usaha anda, bukan semua orang akan faham.

2. Fokuskan kekuatan anda

Apa skil yang diperlulan untuk membuka perniagaan anda ni?

Bila anda dah senaraikan kekuatan, anda boleh tengok sama ada anda boleh tak buat perniagaan yang anda nak buka ni.

Kalau perniagaan itu memerlukan skil yang anda tak ada, anda pilih sama ada nak teruskan atau pun buat perniagaan yang selari dengan skil yang anda ada.

Tapi kalau anda masih nak buat juga pun tiada masalah, anda belajar saja skil tu, ataupun suruh orang lain yang tolong anda.

Tapi untuk permulaan ni, sebaiknya anda pilih jalan yang tak makan kos yang banyak.

3. Sahkan idea bisnes anda untuk elakkan menjual benda yang tak ada orang nak

Memang biasa untuk kita rasa yang kita ni betul ataupun idea kita ni betul sebab tulah banyak bisnes yang banyak orang yang mula bisnes.

Sebagai seorang usahawan ataupun peniaga kita ada banyak ego tentang kerja kita. Tapi hakikatnya kebanyakan bisnes idea ataupun konsep kita ni, orang tak kisah pun ataupun sebenarnya memang tak berguna seperti mana yang kita jangka.

Jadi nak ke tak nak anda kena banyak bersabar dan bereksperimen.

Anda boleh mulakan dengan membuat servis kecil-kecilan tentang masalah yang orang hadapi dan buat produk ataupun bisnes berdasarkan masalah tersebut.

Semua orang nak kaya tapi bukan semua orang yang sanggup buat apa yang diperlukan untuk mencapai kekayaan itu.

Antara yang diperlukan adalah kesabaran dan juga konsistensi.

Oleh itu janganlah hanya memikirkan tentang diri sendiri dan idea bisnes anda sahaja mungkin anda rasa itu betul tapi sebenarnya boleh jadi anda dah laburkan banyak duit dan bisnes anda tak memberi pulangan yang banyak pun.

Jadi banyakkan bereksperimen sehingga anda dapat menjayakan bisnes anda itu.

4. Bina USP perniagaan anda

Unique Selling Proposition (USP) adalah benda yang membezakan anda dengan bisnes yang lain.

Cuba anda fikirkan dan senaraikan apa USP yang bisnes anda ada.

USP ni boleh jadi ciri-ciri produk anda ataupun manfaat bisnes anda, ataupun struktur kos, ataupun tawaran anda, cara anda buat marketing, cara layanan anda kepada pelanggan dan macam-macam lagi.

Kalau anda tak ada lagi USP, tak apa.

Masa macam nilah anda mengasah kebolehan anda untuk memikirkan benda-benda kritikal dan mencari solusi untuk bisnes anda.

Fikirkan saja dulu dan senaraikannya, dan daripada idea-idea yang anda senaraikan tu,   anda kembangkan lagi dan lagi sehingga anda mendapat gambaran ataupun idea macam mana nak bina USP produk anda.

5. Setkan matlamat yang realistik, spesifik, dan boleh di ukur.

Lepas anda sahkan idea bisnes dan sudah ada USP, anda dah nampak gambaran masa depan bisnes anda.

Sekarang, masa untuk menjadikan gambaran anda itu kenyataan.

Bila kita ada matlamat, atau goals, kita akan menggerakkan bisnes kita. Idea dan lakaran semata-mata takkan jadi apa kalau kita tak bertindak dan usahakannya.

Matlamat ni dibahagikan kepada matlamat harian, matlamat mingguan, dan matlamat bulanan.

Anda setkan matlamat kecil-kecil dulu, dan letak deadline supaya matlamat anda tu bukanlah sekadar senarai yang nanti akan berhabuk.

Matlamat harian ni penting untun pastikan yang anda produktif dan sentiasa menyiapkan kerja bisnes.

Matlamat mingguan ni lebih significant berbanding matlamat harian sebab kerjanya tak boleh siap dalam 1 hari.

Contohnya menyiapkan 2 blog yang padu untuk menarik trafik ke laman web bisnes anda misalnya.

Kerjanya berat, sebab tu kita panggil matlamat mingguan. Dan kerja ni memainkan peranan yang penting kepada pembesaran bisnes kita.

Matlamat bulanan pula untuk kita cek tahap prestasi bisnes kita. Dia adalah mileston yang kita boleh tahu, bisnes kita sekarang dekat mana.

Sebab semua matlamat kecil-kecil dan langkah-langkah kecil macam matlamat harian tu, akan membina ke arah kejayaan matlamat bulanan kita.

Tapi bila anda set matlamat untuk bisnes anda tu, rancanglah slow-slow, asalkan boleh capai. Lagi jauh atau lama jangka masa matlamat anda tu, lagi susah untuk anda capainya.

Jadi set lah matlamat yang senang dibuat dan berguna untuk bisnes untuk pastikan tugasan anda sentiasa dibuat dan bisnes anda bergerak.

6. Bina road map bisnes anda

Macam mana anda nak capai matlamat anda itu?

Memang menarik untuk senaraikan macam-macam impian dan matlamat tapi kalau anda tak ada plan sebenar untuk mencapai matlamat itu,

Matlamat tersebut hanyalah impian dan harapan semata-mata.

Pertama sekali, anda buat plan macam mana nak capai matlamat bisnes anda. Kalau matlamat anda nak dapatkan 10 pelanggan baru minggu ni, macam mana nak dapatkan 10 pelanggan tu? Apa langkah yang perlu diambil? Siapa yang diperlukan? Dan sebagainya.

Kemudian anda buat analisa tentang bisnes anda dengan khidmat nasihat dari kawan, keluarga, atau pun mentor anda kalau ada.

Anda perlu proaktif, kebolehan anda untuk menyelesaikan masalah akan menentukan kejayaan bisnes anda.

7. Cari orang untuk kelemahan kita

Anda fokuskan kekuatan anda, dalam bisnes anda, skop kerja mana yang anda paling power?

Fokuskan kerja itu saja, kalau anda hebat dalam sales, fokuskan dekat sales saja, kalau anda hebat dekat marketing, fokuskan kat situ saja dan kerja-kerja yang anda lemah tu kasi orang lain yang buat.

Anda boleh dapatkan orang dengan :

  • Upah freelancer untuk bantu anda selesaikan kerja bisnes dengan cepat.
  • Dapatkan partner, sama ada full time atau part time, yang boleh bantu lengkapkan skop kerja yang anda tak boleh buat.

8. Sentiasa minta maklum balas pelanggan

Anda buat bisnes ni pun dengan masa yang terhad.

Jadi jangan habiskan tenaga anda dekat benda yang tak bagus.

Sebab itu kita minta maklum balas pelanggan. Dekat mana yang ada respon positif kita tingkatkan dan fokuskan lagi.

Dekat mana yang ada respon negatif kita atasi masalah itu dan kita cadangkan solusi yang lebih baik.

Idea yang paling mahal datang daripada pelanggan kita sendiri, sebab mereka lah yang beli dengan kita, merekalah segalanya untuk bisnes.

Anda boleh dapatkan maklum balas melalui kawan-kawan atau rakan-rakan bisnes, mentor, group media sosial, komuniti-komuniti online, dan juga kedai tempatan.

9. Jangan endahkan kerja tetap anda

Mungkin bisnes anda buat tu bagus, dan anda nampak masa depan yang cerah dengannya.

Tapi anda kena ingat anda masih lagi ada kontrak dengan kerja anda. Anda masih bekerja. Jadi ingatlah tanggungjawab tu.

Jangan buat kerja bisnes waktu kerja ofis, dan jangan gunakan sumber kerja anda untuk kegunaan peribadi untuk bisnes.

Mungkin anda rasa benda ni mudah, tapi bagi bos anda atau rakan kerja anda, ini kes yang berat.

10. Stabilkan dulu sebelum berhenti kerja

Anda perlukan sumber pendapatan yang stabil sebelum bisnes anda ni menjadi sumber pendapatan utama anda.

Nasihat saya, pastikan anda ada simpanan gaji kerja 6 bulan dahulu sebelum berhenti kerja.

Tapi nak berhenti pun jangan macam tu je, pastikan bisnes anda boleh menampung anda untuk beberapa bulan dahulu, dan kalau anda betul-betul yakin yang bisnes anda ni ada potensi dan boleh berkembang lagi, barulah anda berhenti kerja dan fokus sepenuhnya untuk bisnes anda.

Memulakan bisnes sementara anda masih bekerja sepenuh masa hakikatnya sangatlah susah, tapi tak mustahil.

Ada banyak cabang cara dan jalan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, sebegitu juga ada berapa ramai orang bisnes di dunia ini yanh anda boleh pelajari.

Gunakan langkah ini sebaiknya dan saya doakan anda menjadi boss anda sendiri, kan best tu.

Semoga berjaya !


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *