RAHSIA KEDAI MAMAK YANG MAMPU BERTAHAN PULUHAN TAHUN

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Membuka perniagaan sebenarnya sesuatu yang mudah. Apa yang sukar ialah bagaimana untuk mengekalkannya. Dalam hal ini, antara perniagaan yang paling cepat gulung tikar ialah kedai makan. Kedai makan banyak tumbuh terutamanya di bandar-bandar besar, namun banyak juga yang ditutup walaupun baru saja beroperasi.

Di Malaysia sendiri, contoh terbaik kedai makan yang mampu bertahan lama ialah kedai makan mamak. Malah di Pulau Pinang, terdapat restoran mamak yang sudah berusia sehingga ratusan tahun!

Bagaimana restoran mamak mampu bertahan dalam tempoh masa yang cukup lama? Apa rahsianya?

Servis Laju

Memang tidak dapat disangkal, servis yang diberikan oleh kedai makan mamak cukup laju. Dalam filem Ejen Ali The Movie juga menunjukkan babak di mana para pekerja kedai mamak ini begitu laju memberikan servis. Dalam animasi Upin Dan Ipin juga turut menonjolkan Uncle Muthu yang begitu laju menyiapkan hidangan untuk  pelanggannya.

Rakyat Malaysia sendiri sudah tahu akan servis laju yang diberikan oleh kedai makan mamak ini. Tidak hairanlah kedai mamak ini sentiasa dipenuhi dengan pelanggan.

Kalau anda juga mahu bertahan lama dalam industri ini, berilah servis yang laju buat pelanggan anda.

Roti Canai Dan Teh Tarik

Kalau sebut dua menu ini, pasti kita sudah terbayangkan restoran mamak, bukan? Biasanya jika seseorang mahu makan roti canai dan teh tarik, kedai makan mamak memang menjadi pilihan. Budak-budak pun sudah tahu. Ianya sebati dalam pemikiran rakyat Malaysia.

Begitulah juga dengan kedai makan anda. Apakah menu istimewa yang membuatkan pelanggan akan sentiasa teringat-ingatkan akan kedai anda? Walaupun kedai makan anda mempunyai banyak menu makanan, cubalah pilih satu menu istimewa yang membuatkan pelanggan akan sentiasa mahu mencubanya hanya di kedai makan anda saja.

Kalau disebut KFC, orang akan ingat ayam goreng. McDonald’s pula dengan burger, bagaimana pula dengan kedai makan anda?

Penjuru Kedai

Ada satu teka teki kelakar. Mengapa tiada pemain bola sepak berbangsa India yang mengambil sepakan sudut? Sebabnya mereka takut pemain India itu akan membuka kedai makan di penjuru padang itu!

Baik, ini hanyalah selingan lawak hambar.

Apapun, pasti anda akan perasan, biasanya (atau mungkin hampir semua?) kedai makan mamak dibina di penjuru deretan kedai. Mereka akan meletakkan kedai mereka di bahagian corner. Perasan kan? Walaupun terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal, mereka tetap sanggup. Kenapa? Kerana mereka yakin akan untung lebih tinggi!

Kelebihan corner lot ini selain lebih luas, sebenarnya kedai ini lebih menonjol berbanding kedai-kedai lain. Malah kenderaan yang melalui simpang atau mahu membelok, pastinya mereka akan memperlahankan atau memberhentikan kenderaan. Ketika itu apa yang mereka akan nampak? Kedai makan mamak la!

Kalau anda tidak mampu mendapatkan kedai di corner lot, cuba dapatkan kedai di kawasan yang ada bonggol jalan. Biar kenderaan yang memperlahankan kenderaan ketika melalui jalan tersebut akan dapat melihat kedai anda. Tapi, pastikan tanda nama kedai anda cukup besar untuk menarik minat orang melihatnya ya.

Hampir 24 jam

Kerajaan kini sudah tidak membenarkan premis kedai makan beroperasi selama 24 jam. Seperti yang kita tahu, kedai makan mamak suatu masa dahulu sememangnya beroperasi selama 24 jam. Namun, adakah selepas larangan kerajaan ini menyebabkan kedai makan mamak semakin kekurangan pelanggan? Tidak.

Ini kerana mereka masih mampu beroperasi selama 23 jam.

Sama ada tengah malam atau awal pagi, kedai makan mamak sudah beroperasi pada waktu tersebut. Dalam masa yang sama, kedai-kedai makan yang lain sudah mula menutup operasi kedai mereka.

Benar, bukan semua kedai makan mamak yang beroperasi hampir 24 jam, namun realitinya kita tahu bahawa masih terdapat banyak kedai makan mamak yang mengambil tempahan walaupun di awal pagi. Lagi menarik bila pelanggannya juga masih tetap ramai pada waktu tersebut.

Kami bukanlah mahu meminta anda beroperasi selama hampir 24 jam. Tetapi cukuplah untuk anda tepati masa operasi anda agar pengunjung tidak merasa kecewa bila melihat kedai anda ditutup. Biarkan pelanggan tahu sama ada kedai anda sudah dibuka pada awal pagi ataupun masih beroperasi sehngga ke lewat malam.

Semoga anda belajar sesuatu.

Panggil pelanggan datang kedai guna Facebook Ads

Sekiranya tuan dan puan mahu belajar bagaimana memanggil pelanggan secara konsiten ke kedai atau premis tuan, belilah panduan Marketing Setempat yang kami keluarkan. Sudah lebih 500 peniaga membelinya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *